Halaman

Sabtu, 17 Ogos 2019

MENDAKI GUNUNG KINABALU

Hari ni 17 Ogos 2019, Sabtu..hari yg dtunggu2.. Pendakian ke Gunung Kinabalu. Klau ikut cuaca spnjg mnggu ni, hujan turun sepnjg hri..hrp pndakian hari ni dan menuju ke puncak akan brjln lncar..

Persediaan stamina sangat penting. Berlari, mendaki, latihan naik turun tangga harus dilakukan secara berkala sekurangnya tiga bulan sebelum mendaki. Siapa yang lebih bersedia,  dialah yang selesa.

Pakai kasut yang sesuai, bawa ‘windbreaker’, ‘poncho’ dan yang paling penting adalah tongkat dan ‘headlamp’. Tongkat boleh disewa dengan harga RM10 di Kinabalu Park.

Biasanya pendakian gunung yang perlu bermalam kita akan galas beg besar,  bawa ‘sleeping bag’, ‘carrymat,’ration’ dan makanan. Mendaki Gunung Kinabalu hanya perlu bawa sepersalinan pakain dan barang- barang lain yang perlu sahaja. Kalau rasa nak naik berlenggang boleh  upah ‘porter’ bawa barang dengan kadar bayaran RM13 perkilo untuk naik dan turun.S epanjang trek sehingga ke puncak ada liputan internet dan telefon.
Tidak semua akan berjaya ke puncak atas faktor stamina, kesihatan, kecederaan dan cuaca. Jika hujan di Laban Rata sehingga 3.30 pagi, semua tidak dibenarkan untuk meneruskan pendakian ke puncak atas sebab keselamatan.

Hari pertama, pukul 8.00 am, berkumpul di Kinabalu Park untuk pendaftaran, taklimat dan dibekalkan’ lunch pack’. Dari Kinabalu Park dengan menaiki van ke starting point di Timpohan Gate. Pendakian bermula jam 10am. dari Timpohan Gate menuju Laban Rata sejauh 6 km. Banyak pondok tempat berehat disediakan yang dilengkapi dengan kemudahan tandas sepanjang trail. Kebanyakkan laluan adalah bertangga. Pendakian memakan masa selama 4-7 jam bergantung pada stamina. Ketika naik akan berselisih dengan pendaki lain yang dalam perjalanan turun. Pada  masa ini mereka akan beri kata – kata semangat walaupon dari pelbagai negara yang berbeza. Kebanyakan mereka dari Eropah, Jepun dan Korea. Trek Gunung Kinabalu kebanyakkan bertangga. . Semakin lama tenaga semakin berkurangan, nak melangkah satu anak tangga pun kaki mula terasa berat. Mental dan fizikal perlu kuat, mula rasa nak muntah bila tengok tangga yang tiada berpenghujung.

12.30 pm. Tiba di Layang- Layang Hut, biasa ramai yang berhenti rehat dan makan tengahari kat sini. Pendakian kami diteruskan. Masa ni hujan mulai turun. Kagum dan rasa bersemangat bila tengok porter mendaki sambil pikul tong gas, batu bata, bahan binaan dan macam- macam lagi barang berat.

Tiba di Laban Rata pukul 3.00pm dalam keadaan hujan renyai- renyai. Dah rasa satu kejayaan bila tiba di Laban Rata. Buat pendaftaran untuk masuk bilik. Lemang Hut satu dorm 14 orang. Solat, mandi dan rehat. 5.00pm turun Café untuk makan. Penginapan dan makan sepanjang pendakian sudah termasuk dengan pakej yang dibayar.

Balik bilik rehat dan solat. Sempat juga masak air untuk refill balik air dalam botol. Buat persiapan pakaian yang nak dipakai, perlu chek ‘headlamp’ agar berfungsi dengan baik untuk  esok hari. Masa ni hanya berharap cuaca baik dan tidak hujan pada esok hari agar dibenarkan meneruskan ke puncak. Pukul 9.00 semua dah tidur kerana kepenatan.
Bangun pukul 2.00 am. Alhamdulillah, tidak hujan.  Basuh muka, gosok gigi dan ambil wuduk siap-siap. Jaga wuduk agar tak terbatal ,  waktu subuh sekitar jam 5. Kalau tak kena ambil wuduk di Sayat- Sayat, tapi kena tahan dengan kesejukan yang amat.

Ke café untuk makan buat alas perut. Taklimat ringkas diberikan oleh guide sebelum teruskan pendakian. Pendakian masih diteruskan dengan melangkah tangga demi tangga. Perlu lebih berhati- hati dalam keadaan yang gelap dan dengan trek yang licin. Semakin tinggi ,persekitaran semakin sejuk dan udara semakin menipis.  Ada yang akan mengalami Simptom Accute Mountain Sickness (AMS) iaitu sukar bernafas dan sakit kepala.
Dari Laban Rata ke puncak 3km. Lapor diri di pondok Sayat-Sayat sebelum 5.00 am.  Tiba selepas 5.00 am tidak dibenarkan terus pendakian. Rehat sekejap minum air di Sayat- sayat, air yang refill tadi rasa karat, tak boleh nak minum. Nasib baik di Sayat- Sayat ada punca air. 
Nasib baik persekitaran sejuk tak rasa dahaga sangat.
Trek selepas itu berbatu, ada kawasan curam dan licin yang perlu perlu berpegang pada tali. Dalam kegelapan kaki mengatur langkah mengikut tali agar tidak tersasar dari laluan ke puncak. Masa ni dah boleh cari tempat yang sesuai untuk solat Subuh. Seusai salam, persekitaran semakin cerah, mata dihadiahkan dengan permandangan indah yang menakjubkan.
Pendakian diteruskan..makin lama hayunan kaki makin perlahan.. ada yang mula merangkak untuk sampai ke puncak. Pukul 6.00 am sampai ke puncak tertinggi Gunung Kinabalu; Low’s Peak. Ambil gambar dan terus turun. Elakkan ambil masa terlalu lama kat puncak, kawasan sempit dan curam, bagi peluang kepada pendaki lain untuk bergambar dan jejakkan kaki di puncak. Pukul 7 pagi mesti sampai ke puncak, kalau tak kena patah balik.

Masa naik ke puncak persekitaran gelap, bila turun baru dapat lihat keindahan landskap dan permandangan di Gunung Kinabalu.  Masa ni boleh ambil peluang untuk ambil gambar, elakkan ambil masa terlalu lama. Perlu sampai ke Laban Rata balik sebelum pukul 10 am. Kalau lewat dikenakan denda RM100 untuk setiap jam.

Sarapan di Laban Rata, kemudian kemas barang dan bersedia untuk turun lagi 6 kilometer ke Timpohan Gate. Jumlah perjalanan pada hari kedua 3 km naik  dan 9 km turun. Alhamdulillah, sampai di bawah pada pukul 3.00 pm. Mesti sampai Timpohan Gate sebelum pukul 4.00 petang. Kalau tak, perlu bayar denda RM15 sejam  bagi setiap guide.
Semoga perkongsian saya ini dapat memberi gambaran dan persediaan kepada rakan-rakan yang belum kesini yang bercadang untuk untuk menakluk puncak Gunung Akinabalu. Boleh tambah tips dan konsi pengalaman bagi mereka yang pernah mendaki Gunung Kinabalu.
Kadang- kadang, perlu lakukan aktiviti luar dari rutin harian kita. Keluar  bermesra dengan alam, nikmati kehijauan hutan, langit yang membiru, hirup udara hutan dan gunung yang nyaman dan mampu hilangkan tekanan. Aktiviti yang mengeluarkan keringat memberi kesan refleks  kepada tubuh menjadikan  diri menjadi sihat aktif  dan bertenaga. membuatkan kita lebih menghargai kehidupan dan rasa lebih bahagia.
Mendaki bukan soal untuk menakluki sebuah gunung, namun ianya tentang menakluki ego, kemampuan dan melawan emosi dalam diri sendiri. Ketika berada diluar zon selesa, kita akan lebih mensyukuri mengenai kehidupan dan lebih menghargai orang disekeliling kita.
Aktiviti sebegini bukan untuk bersuka-ria semata.  Juga mengambil manfaat dari perjalanan dengan menyaksikan tanda kebesaran Sang Pencipta.
Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut, membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)-nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; sungguh terdapat tanda-tanda keesaan dan kebesaran Allah bagi kaum yang berfikir.
Surat Al-Baqarah [2:164]
Pendaki yang berjaya menawan puncak gunung Kinabalu akan diberi sijil yang bewarna.  Manakala pendaki yang belum berjaya akan diberi sijil hitam putih. Boleh cuba lagi dilain masa. Tak kan lari gunung dikejar. :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan